Tuesday, July 6, 2010

KEADAAN MANUSIA DI PADANG MAHSYAR

Keadaan Manusia Di Padang Mahsyar

BAGAIMANAKAH cara manusia ke Padang Mahsyar? Bagi menjelaskan perkara ini, Allah berfirman pada ayat 86, Surah Mariam; ayat 102, Surah Taha dan ayat 97, Surah al-Isra'. Ayat itu maksudnya menyatakan bahawa cara manusia ke Padang Mahsyar ada tiga bahagian:

Orang yang pergi dengan berkenderaan iaitu orang bertakwa.


Orang yang berjalan kaki dan keadaan muka mereka biru keruh, kerana hati masing-masing sebak dengan kedukaan, iaitu orang yang mati dalam keadaan berdosa.


Orang yang berjalan dengan mukanya, sambil matanya tidak dapat melihat sesuatu yang menyukakannya. Lidahnya tidak dapat menuturkan hujah atau alasan yang boleh diterima daripadanya dan telinganya tidak dapat mendengar perkara yang menyenangkan hatinya.

Mereka ialah orang yang pada masa hidup di dunia tidak berusaha menggunakan matanya, lidahnya dan telinganya untuk mencapai kebahagiaan akhirat.

Cara itu diterangkan pula oleh Rasulullah SAW dalam hadis berikut:

Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud:

"Manusia yang dihimpunkan ke Padang Mahsyar pada hari kiamat adalah tiga golongan.

"Pertama golongan yang berjalan kaki; kedua, golongan berkenderaan dan ketiga, golongan yang berjalan dengan (berkakikan) mukanya."

Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Bagaimana mereka dapat berjalan dengan mukanya?" Baginda menjawab: "Sesungguhnya Tuhan yang telah menjadikan mereka boleh berjalan dengan kaki, berkuasa menjadikan mereka berjalan dengan muka mereka." (Hadis riwayat at-Tarmizi).

Bagaimana pula keadaan manusia ketika pergi dan berada di Padang Mahsyar?

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya! Kamu sekarang telah datang kepada Kami dengan keadaan sebatang kara seperti keadaan Kami ciptakan kamu keluar dari perut ibu kamu dulu, tidak berkain baju, tidak berkasut, tidak berkhatan dan tidak berharta benda." (Surah al-An'am, ayat 94).

Dan firman-Nya lagi pada ayat 29 Surah al-A'raf, maksudnya: "Sebagaimana Tuhan telah mulakan penciptaan kamu dengan keadaan yang tertentu, maka demikianlah pula kamu bangkit hidup kembali kepada Tuhan."

Mengenai keadaan yang disebut itu, Rasulullah menerangkan dalam hadis berikut:


Daripada Ibn Abbas, katanya, Rasulullah berdiri berucap kepada kami, sabdanya: "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya kamu dihimpunkan di Padang Mahsyar dengan keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan berkulup." (Kemudian Baginda membaca firman Allah bererti: Seperti Kami ciptakan manusia pada mulanya, demikian pula Kami ulangi ciptaannya, itulah janji yang sesungguhnya Kami akan lakukan) Ketahuilah! Sesungguhnya orang yang mula-mula sekali diberi pakai pakaian pada hari kiamat ialah Ibrahim al-Khalil." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


Daripada Aisyah, bahawa Nabi bersabda: "Dihimpunkan manusia di Padang Mahsyar pada hari kiamat dengan keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan berkulup." Aisyah berkata: "Ya Rasulullah! adakah orang perempuan dan lelaki semuanya melihat satu sama lain?" Nabi menjawab: "Wahai Aisyah! Kedahsyatan keadaan pada masa itu menghalang masing-masing daripada melihat satu sama lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Pada satu riwayat oleh al-Nasa'i dan al-Haakim daripada Aisyah, katanya: Aku bertanya: "Ya Rasulullah! Bagaimana pula keadaan aurat?" Nabi menjawab: "Tiap-tiap seorang pada masa itu cukup sibuk dengan hal menjaga keselamatan dirinya saja."

Maksud dua hadis itu ialah Rasulullah menerangkan bahawa manusia akan ke Padang Mahsyar dengan keadaan sebagaimana Tuhan menjadikan mereka keluar dari perut ibu dulu - tidak berpakaian, tidak berkasut dan tidak berkhatan.

Mendengarkan keterangan itu, Saidatina Aisyah bertanya: "Bagaimana hal aurat masing-masing ya Rasulullah! Adakah orang lelaki dan perempuan memandang satu sama lain?"

Rasulullah menjawab: "Wahai Aisyah! Kedahsyatan huru-hara kiamat menghalang manusia dari memandang satu sama lain, usahkan hendak memerhatikan aurat, tiap-tiap seorang pada masa itu cukup sibuk dengan hal menjaga keselamatan dirinya saja.”

Nabi Muhammad menerangkan lagi bahawa orang yang mula-mula sekali diberi memakai pakaian antara makhluk yang ramai itu ialah Nabi Ibrahim.

KELEBIHAN SURAH YASIN

KELEBIHAN SURAH YAASIN

1. Hadrat Ata Ibn Abi Ribah berkata , Rasulullah s.a.w. telah bersabda “Siapa yang membaca surah Yaasin di permulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu akan di penuhi.”

2. Segala sesuatu mempunyai hati, dan hati bagi Al Quran ialah surah Yaasin. Barang siapa yang membaca surah Yaasin, Allah s.w.t. akan menulis pahala baginya seumpama ia membaca seluruh Al Quran sebanyak 10 kali.

3. Allah s.w.t. membaca surah Yaasin dan surah Taha seribu tahun lamanya sebelum terciptanya langit dan bumi. Para malaikat berkata “Ummat dimana Al Quran di turunkan akan dirahmati hatihati

4. yang memikulnya, yakni yang menghafalnya akan dirahmati dan lidah-lidah yang membacanya akan juga di rahmati.”

5. “ Sesiapa yang membaca surah Yaasin semata-mata kerana Allah s.w.t. segala dosa-dosanya akan yang dahulu akan diampunkan. Jadikan sebagai amalan untuk dibaca keatas orang-orang mati.”

6. Surah Yaasin di namakan Mun’mah (pemberi berita baik) di dalam Torah kerana ia mengandungi manfaat kepada pembacanya, di dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat.

7. Ia menghindarkan penderitaan di dunia dan juga di akhirat dan menjauhkan kedasyatan di kehidupan akhirat.

8. Ia juga di kenali sebagai Rafi’ah Khafidah iaitu mengangkat darjat orang-orang yang ingkar (tidak beriman). Riwayat Rasulullah s.a.w. bersabda , “ Hatiku menghendaki supaya surah Yaasin berada di setiap hati umatku.”

9. Jika surah Yaasin di baca pada setiap malam dan kemudiannya meninggal dunia, ia akan mati sebagai mati syahid.

10. Diriwayatkan dalam hadis lain, “ Barang siapa yang membaca surah Yaasin akan diampunkan, sesiapa sahaja yang membacanya semasa kelaparan, akan di hilangkan kelaparannya itu, barangsiapa yang membacanya dikala sesat jalan, akan menjumpai jalan semula, barangsiapa membacanya kerana kehilangan binatang akan mendapatkannya semula, bila seseorang itu membacanya kerana bimbang kekurangan makanannya,makanan itu akan mencukupi, jika ia dibaca kepada orang yang membaca kepada orang yang menghadapi penderitaan maut, akan dimudahkan baginya dan jika dibaca keatas perempuan yang sukar untuk melahirkan anak, akan dimudahkan bagi bayinya.

11. Maqri Rahmatullah Alaihi berkata, “ Jika surah Yaasin di baca oleh seseorang yang takutkan pemerintah atau musuh, ia akan dihilangkan dari ketakutan itu.”

(Dipetik daripada Tafsir Surah Al-Yaasin oleh Shiekh Hamimy Zadah)